Enam Ditahan Ingkar PKP


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Beaufort: Lima lelaki dan seorang wanita ditahan selepas didapati dengan sengaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan dalam sekatan jalan Op Covid-19, di Jalan Membakut Jaya, di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan jam 8.30 malam itu, semua individu berusia 37 hingga 61 tahun terbabit didapati bergerak keluar dari kediaman masing-masing dan berada di tempat awam tanpa alasan yang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, semua individu yang memandu kenderaan masing-masing berkenaan terus ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, mereka didapati melanggar undang-undang mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan

Tempatan) No.3, 2020.

“Orang yang ditahan juga didapati memberikan alasan yang bukan termaktub dengan maksud mengikut subperaturan (2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) No.3, 2020.

“Peraturan ini dengan jelas menyatakan tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau sebaliknya,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, hasil pengakuan semua individu  yang ditahan mendakwa mengetahui mengenai arahan PKP yang sedang berkuatkuasa.

“Mereka mengaku sedar dan tahu arahan berkenaan melalui hebahan SMS dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga melalui sebaran media sosial di internet.

“Dalam pengetahuan semua tangkapan, larangan tersebut masih berkuatkuasa namun tetap keluar dari rumah bagi maksud yang bukan seperti di bawah sebperaturan (2) PPPPB, No.3, 2020,” tegasnya.

Tamat