Ingkar PKP, Lelaki Mabuk Ditahan

Lelaki berusia 47 tahun ditahan Unit MPV polis selepas didapati mabuk di hadapan sebuah sekolah di daerah ini.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Beaufort: Gara-gara mabuk dan terbaring di hadapan sekolah rendah di Kampung Karangan, di sini, seorang lelaki ditahan polis selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 47 tahun ditahan Unit Kereta Peronda ( MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, yang menjalankan rondaan penguatkuasaan PKP, sekitar pekan daerah itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati suspek yang tinggal di Kampung Beringgin Gadong, di sini, dikatakan keluar untuk membeli minuman keras di pekan.

Bagaimanapun katanya, selepas membeli minuman keras itu, suspek dipercayai terus minum sehingga mabuk.

“Lelaki itu akhirnya ditemui terbaring oleh anggota MPV yang menjalankan rondaan di hadapan sebuah sekolah di kampung berkenaan.

“Tindakan suspek jelas menunjukkan dia melanggar Peraturan 3(1) mengikut peruntukkan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) (No.3) 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, lelaki itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Melalui pengakuan, suspek menyatakan tahu berkenaan arahan PKP yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.

“Walaupun suspek mengetahui larangan itu masih berkuatkuasa tetapi suspek tetap juga keluar rumah untuk membeli minuman keras bagi menghilangkan ketagihannya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 3) 2020.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan kerana melanggar PKP di hadapan sebuah surau di Kampung Padas Valley, di sini, semalam.

Lelaki warga Filipina ditahan polis di sebuah surau di daerah ini

“Suspek menyatakan bahawa pergi ke surau berkenaan untuk menunaikan solat dan hasil pemeriksaan suspek warga Filipina tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Suspek ditahan kerana melanggar PKP dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 3) 2020 serta 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/ 63,” katanya.

Tamat