Lima Keluarga Hilang Tempat Tinggal

Fardy Bungga

asiatimesrp.com.my

Kota Marudu: Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Roson, Pitas, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi itu membabitkan tiga rumah yang musnah terbakar dan dihuni seramai 28 mangsa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.47 pagi.

Katanya, dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti dikerah bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Balai Bomba Kota Marudu.

“Sebaik tiba, kebakaran didapati membabitkan dua rumah jenis kekal dan sebuah jenis tidak kekal.

 

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan dua pancutan dari satu aliran sepanjang 100 meter,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.33 pagi daripada terus merebak ke empat lagi rumah, masjid, sekolah Kemas dan rumah perusahaan burung walet berhampiran.

Katanya, operasi berjaya ditamatkan pada jam 10 pagi selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden kebakaran ini.

“Setakat ini Bahagian Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden ini,” katanya.

Tamat