Pelajar Maut Rempuh Lembu

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Keningau: Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor lembu yang dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba dalam kejadian di Jalan Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 17 tahun dilaporkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat parah dibahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan bergerak dari Taman Golf View menuju ke Taman Luagan melalui Jalan Pasir Putih.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai terlanggar seekor lembu yang melintasi jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, susulan kejadian itu juga motosikal ditunggang mangsa rosak teruk manakala lembu berkenaan mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan oleh haiwan melintas dan siasatan masih diteruskan

“Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan lanjut,”katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

tamat