PPM SANDAKAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BARANG KAWALAN


Fardy Bungga

asiatimesrp.com.my

SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan selepas dipercayai cuba menyeludup barang kawalan di perairan Laut Inner Bouy, Pulau Berhala, di sini, kelmarin.

Dalam pemeriksaan jam 3.00  petang itu, lelaki berusia 48 itu gagal menunjukkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa barang kawalan berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, semasa rondaan Op Covid 19 dilakukan di kawasan berkenaan, pihaknya terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik ditahan, bot yang dinaiki suspek itu dimuatkan dengan pelbagai bahan makanan terkawal.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati terdapat barang kawalan antaranya 150 bungkus minyak masak, 50 bungkus gula kasar dan 30 kotak tepung gandum serta beberapa barang runcit.

“Semua barang kawalan dan runcit berkenaan dianggarkan berjumlah RM54,083 keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini.

Mohamad Pajeri berkata, jurangan bot juga gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, suspek dan semua barang rampasan tanpa permit serta termasuk bot yang digunakan dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama peraturan-peraturan kawalan bekalan,”katanya.

Tamat