11 Laporan Diterima Berkaitan Penipuan Menyamar Rakan Mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima sebanyak 11 laporan sejak Mac lalu berkaitan kegiatan penipuan yang menyamar sebagai rakan mangsa.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, setakat ini jumlah kerugian yang direkodkan keseluruhannya adalah sebanyak RM109,400.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

“Berdasarkan siasatan mendapati, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai rakannya.

“Individu terbabit seterusnya menyatakan ingin meminjam sejumlah wang daripada mangsa dengan alasan kehilangan telefon dan dompet,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, bagaimanapun, sebaik memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan, mangsa kemudiannya gagal menghubungi semula individu berkenaan.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas menghubungi rakan sebenarnya yang menafikan ada berbuat demikian.

“Sejak kebelakangan ini, pelbagai helah digunakan antaranya seperti Macau Scam, Tipu Peraduan Boost, Pinjaman Tipu Wujud, Pembelian ‘Online’ dan sebagainya.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih bijak dan berhati-hati dengan segala kemudahan media sosial ketika ini,”katanya.

Habibi berkata, orang ramai juga boleh membuat pengesahan akaun yang diberikan penjenayah atau scammer kes penipuan menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Katanya, sebarang kemusykilan berkenaan panggilan scam juga boleh berhubung terus dengan polis ditalian 088-230 182 atau HOTLINE POLIS KK 088-529 220.

Tamat