Pemandu Lelaki Maut Kereta Dirempuh Toyota Avanza

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza di Jalan Sulaman – Serusup, Kampung Tambalang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Jeovintan Eyas, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah dibahagian badan dan kepala.

Pemandu Toyota Avanza iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Toyota Avanza bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Tuaran.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat daripada itu, kenderaan Toyota Avanza melanggar sebuah kereta Perodua Kancil yang datang dari arah depan dipandu mangsa.

“Pemandu Perodua disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu Toyota Avanza cedera,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran turut berada di lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit pada kereta Perodua Kancil.

tamat