Negara Berjaya Penuhi Enam Kriteria WHO

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

PUTRAJAYA: Negara sudah memenuhi enam kriteria ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antaranya kriteria yang berkaya dipenuhi adalah memperketatkan kawalan sempadan negara bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 dari negara seberang.

Selain itu katanya, kriteria lain adalah meningkatkan keupayaan fasiliti kesihatan serta mengawal pergerakan bagi mengurangkan potensi jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Kita juga berkeupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya turut dipertingkatkan.

“Selain itu, melaksanakan amalan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, memastikan penjarakkan sosial dan memakai topeng muka,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.

Muhyiddin berkata, kriteria keenam yang berjaya dipenuhi adalah pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.

“Alhamdulillah, pengorbanan kita sepanjang pelaksanaan PKP tidak sia-sia. Jumlah kes-kes baharu menurun dengan ketara.

“Jumlah pesakit yang sembuh juga meningkat. Penggunaan ruang-ruang katil di hospital yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 tidak melebihi 30 peratus,” tegasnya.

tamat