Wanita Warga Asing Mati Ditikam

Fardy Bungga

asiatimes@hotmail.com

KENINGAU: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dipercayai ditikam dalam kejadian di kuarters sebuah kilang di Jalan Ulu Patikang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun terbabit ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di pintu masuk rumahnya.

Mangsa difahamkan tinggal di kilang itu sambil berniaga menjual barangan keperluan untuk penduduk kuarters berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain


Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan tikaman.

“Turut ditemui di lokasi kejadian adalah senjata yang dipercayai digunakan iaitu sebilah pisau dengan kesan darah di depan rumah mangsa.

“Tindakan pantas polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.

“Suspek berusia 16 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

tamat