UPKO sokong Keputusan Kerajaan Negeri Tidak Laksana PKPB

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bermula esok di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kerajaan negeri telah mengambil keputusan yang tepat bagi memastikan usaha membendung penularan wabak Covid-19 selama ini tidak sia-sia.

“Mengambil iktibar daripada Pulau Hokkaido Jepun, kita bersimpati dengan mereka kerana terpaksa menghadapi gelombang kedua selepas mengambil keputusan menamatkan Perintah Berkurung lebih awal.

“Dalam masa sama, kita perlu menghargai pengorbanan petugas kesihatan dan pekerja barisan hadapan lain yang berpenat lelah siang dan malam bagi memerangi Covid-19,” katanya.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini berhubung keputusan Kerajaan Negeri untuk tidak melaksanakan PKPB di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri sejak dari awal lagi sudah memilih untuk lebih mengutamakan nyawa rakyat berbanding perkara lain.

“Maka itulah sebabnya, Sabah merupakan negeri yang terawal membuat keputusan untuk membatalkan semua penerbangan dari China pada Januari lalu, walaupun sebenarnya kemasukan pelancong China ke negeri ini menyumbang pendapatan yang tinggi dalam sektor pelancongan.

“Pada ketika itu, Bandar Wuhan dikenal pasti sebagai lokasi penemuan virus dan sekiranya langkah pembatalan penerbangan tidak diambil, Sabah mungkin berada jauh lebih parah daripada yang kita hadapi sekarang,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata, semua syarikat atau perusahaan yang telah menerima kebenaran untuk beroperasi pada PKP lepas, masih boleh beroperasi seperti biasa.

“Kita memahami aspek ekonomi sememangnya penting untuk kelangsungan hidup rakyat dan pembangunan negara.

“Namun, biarlah keadaan benar-benar selamat dan tiada lagi kes jangkitan direkodkan, kerana situasi yang sama pasti berulang sekiranya kita tersilap langkah,” tambahnya.

Beliau juga menasihatkan syarikat yang dibenarkan beroperasi sebelum ini kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Untuk rekod, selain Sabah, negeri Sarawak juga mengambil keputusan tidak melaksanakan PKPB.

Tamat