Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Labuan: Tindakan sekumpulan 14 individu menangkap ikan di kawasan pelantar minyak Kikeh, di sini, mengundang padah apabila semua mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, semua individu terbabit yang menaiki sembilan bot ditahan pasukan bot ronda APMM Labuan di kedudukan 60 batu nautika dari barat laut pulau Labuan.
Pengarah APMM Zon Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, ketika kejadian bot ronda yang sedang melakukan operasi Op Pelantar mengesan semua bot berkenaan menceroboh untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan mendapati dua bot nelayan terbabit sedang bertambat pada hos minyak pengeluaran penyimpanan dan pemunggah apungan (FPSO) Kikeh, sebagai bot induk manakala tujuh lagi bot kecil sedang melakukan aktiviti memancing berhampiran dengan bot induk.
“Terdapat 14 orang berada di atas bot-bot berkenaan dan daripada jumlah itu didapati dua adalah warga tempatan manakala 12 lagi berasal dari Filipina iaitu tiga pemastautin tetap, lima pemegang kad IMM13, seorang memiliki sijil lahir dan tiga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Semua tangkapan berusia 14 hingga 71 tahun ditahan dan dibawa ke Jeti APMM labuan, untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1 1962/60 dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya.
Menurut Nor Bakari, orang ramai diminta supaya menjauhi kawasan pelantar minyak kerana sebarang aktiviti yang dilakukan dalam kawasan 500 meter radius boleh membahayakan nyawa yang berada di situ.
“APMM pernah menerima aduan dari pekerja pelantar memaklumkan terdapat bot nelayan yang memasak ketika menangkap ikan dalam kawasan pelantar.
“Jelas sekali, tindakan sebegini amat merbahaya kepada pelantar, pekerja pelantar dan juga nelayan,” katanya.
Sementara itu, semua yang ditahan diberi saringan ujian Covid-19 dan bot-bot terbabit dijalankan proses nyahkuman oleh Jabatan Kesihatan Labuan.
Turut hadir memantau prosedur saringan di jeti iaitu Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah.
Tamat