SJR Op Covid-19 Dirempuh Ford Ranger


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Tugas di barisan hadapan sememangnya berdepan risiko terutamanya apabila berdepan pemandu kenderaan tidak bertanggungjawab dan memandu kereta secara melulu.

Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini, sekali lagi menjalankan operasi memburu sebuah kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dilaporkan merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Covid-19, di Jalan Kolombong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anggota bertugas bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan namun hanya kerosakan beberapa papan tanda (Essential Services), kon dan lampu akibat rempuhan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya kini sedang giat mengesan kenderaan berkenaan.

Katanya, kereta Ford Ranger yang berwarna kelabu itu dilihat menggunakan nombor pendaftaran KM95 dan bergerak dari Jalan Tuaran Bypass menghala ke Jalan Lintas.

“Pemandu itu dipercayai cuba melepasi SJR dengan merempuh papan tanda Essential Services dan beberapa peralatan sekatan jalan.

“Selepas merempuh SJR itu, pemandu terbabit terus melarikan diri,” katanya.

Habibi berkata, siasatan sedang dijalankan dan usaha untuk mengesan suspek giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Difahamkan, ini adalah kejadian kedua rempuhan SJR di daerah ini apabila kes pertama dilaporkan berlaku pada 3 April lalu.

Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan jenis Ford Ranger merempuh SJR di lokasi sama dan terus melarikan diri

Suspek lelaki berusia 28 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 5 April lalu.

tamat