Lelaki Mabuk Tembak Biras Sendiri

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Marudu: Perselisihan faham ketika mabuk antara dua biras berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditembak biras sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Bintasan Darat, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa dan suspek serta tiga lagi ahli keluarga lain bersama-sama di dalam sesi minum arak sambil berkaraoke di ruang tamu rumah.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba dikatakan berlaku perselisihan faham kecil antara mangsa dan suspek sebelum tercetus kepada pertengkaran yang lebih besar.

Mangsa dikatakan mengambil sebilah parang manakala suspek pula pergi bahagian dapur sebelum kembali ke ruang tamu sambil memegang senapang buatan sendiri jenis ginsuk.

Suspek berusia 23 tahun disyaki mabuk kemudian terus melepaskan tembak ke arah mangsa hingga menyebabkan parah dibahagian badannya.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan menahan suspek terbabit.

Katanya, pihaknya turut merampas senapang buatan sendiri jenis ginsuk yang digunakan ketika kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

tamat