Rayuan BPN Dibuka Esok.-Muhyiddin

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Orang ramai yang tidak diluluskan dalam permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh membuat rayuan, mulai esok.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN itu sehingga 31 Mei depan.

Katanya, semua rayuan itu boleh dibuat menerusi emel atau pemohon boleh hadir sendiri ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan.

“Saya dengar ada rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab.

“Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap, permohonan ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan tetapi mereka sebenarnya sudah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan serta pemohon adalah pelajar yang menerima bantuan BPN bagi kategori bujang,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak berjanji semua rayuan dapat diluluskan namun sekiranya memenuhi syarat dan munasabah ia mungkin boleh diluluskan.

Sementara itu, sehingga semalam, kerajaan sudah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN termasuk permohonan baharu dan rayuan membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.

Katanya, daripada kelulusan yang diberikan, jumlah terkini penerima BPN ialah sebanyak 10.6 juta orang membabitkan nilai RM11 bilion,” katanya.

BPN diumumkan kerajaan sebelum ini bagi membantu menampung pendapatan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Tamat