Enam Remaja Berusia 12 Hingga 17 Tahun Ditahan Membabitkan Kes Pecah Rumah.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kudat: Enam remaja berusia 12 hingga 17 tahun ditahan selepas didapati terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.

Semua keenam-enam remaja tempatan terbabit ditahan di rumah masing-masing dalam serbuan bermula jam 2 pagi hingga jam 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, bertindak atas maklumat pihaknya berjaya menahan semua enam remaja yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah.

Katanya, siasatan mendapati semua suspek remaja terbabit sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah di sekitar perumahan di pinggir bandar Kudat.

“Siasatan awal mendapati kumpulan remaja berkenaan mengaku memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni untuk mengambil wang tunai dan barangan kecil yang berharga.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti sama ada kumpulan remaja ini berkait dengan beberapa lagi kes yang dilaporkan sebelum ini,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, hasil penahanan semua suspek terbabit, polis turut berjaya merampas jam tangan dipercayai dicuri.

“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat,” katanya.

Tamat