Usahawan Perlu Manfaatkan Media Sosial Promosi Produk Tempatan: -Madius

SIMBOLIK..Madius (empat kiri) menyampaikan bantuan beras kepada penatua Gereja SIB, saudara Joimon Pegim (lima kanan). Turut kelihatan Joisin (dua kiri) dan Herman (dua kanan).

TAMPARULI: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyeru usahawan tempatan untuk memanfaatkan platform media sosial sepenuhnya dalam memasarkan produk masing-masing.

Katanya, ia bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan produk-produk mereka sekali gus mampu meraih pelanggan dari atas talian.

“Untuk makluman, MTI melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) telah banyak melahirkan usahawan-usahawan tempatan yang menghasilkan produk-produk tempatan.

“Tapi pada ketika ini ramai yang belum mengenali produk  tersebut  kerana penjualannya belum sampai ke kedai-kedai runcit. Sebahagian daripadanya dijual di pasaraya sahaja selain terdapat juga beberapa yang dieksport ke luar negara,” katanya.

Sehubungan itu Madius memaklumkan, media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan youtube adalah platform terbaik untuk dijadikan ruang pemasaran dan strategi promosi yang berkesan dalam normal baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa yang sama, MTI juga melatih para usahawan untuk membuat pensijilan terhadap produk-produk mereka.

“Ini bagi meningkatkan keyakinan prospek pembeli terhadap produk yang kita hasilkan.

“Ia termasuk pensijilan halal bagi produk makanan tempatan,” jelasnya.

Antara pemimpin gereja SIB Tamparuli yang hadir.

Madius berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan 40 kampit beras kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di sini, kelmarin (10 Mei 2020).

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tungginging, Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Jeffry Teo dan Kapitan Cina Kiulu, George Teo.

Tamat