Bekas Penghuni Hospital Mesra Bukit Padang Bunuh Diri

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tuaran: Seorang bekas penghuni Hospital Mesra Bukit Padang yang dipercayai masih mengalami gangguan mental ditemui mati dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat empat perumahan Taman Telipok Ria, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 30-an itu ditemui berlumuran darah di kawasan parkir oleh penduduk sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk sekitar yang melihat mangsa selepas dipercayai terjun dari tingkat atas.

Katanya, hasil soal siasat terhadap bapa mangsa mendapati, si mati adalah pesakit mental yang baharu dibenarkan keluar dari Hospital Mesra Bukit Padang, April lalu.

“Mangsa dikatakan enggan memakan ubat yang dibekalkan pihak hospital selain kerap memberitahu dia sering terdengar suara yang mengajaknya.

“Pasukan perubatan Hospital Tuaran yang tiba di lokasi kejadian pula mengesahkan mangsa meninggal diunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, setakat ini, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Bagaimanapun katanya, siasatan kes masih diteruskan dan polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan supaya tampil memberi kerjasama.

Tamat