Hargai Sumbangan Pasukan Keselamatan

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Risiko yang dihadapi pasukan polis dalam menjaga keamanan dan keselamatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat dihargai masyarakat.

Perkara itu diserlahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Kenny Chua, yang menyampaikan sumbangan buah kurma kepada Balai Polis Karamunsing dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sebagai tanda penghargaan kepada pihak polis.

Kenny berkata, sumbangan berkenaan adalah untuk rakan-rakan pasukan polis terutamanya mereka yang beragama Islam berbuka puasa.

Katanya, sumbangan itu diberikan secara ikhlas kepada PDRM atas kesedaran betapa pentingnya penugasan polis dalam melaksanakan PKP bagi mengekang penularan wabak maut ini, khususnya di kalangan masyarakat setempat.

“Kita amat menghargai sumbangan pasukan polis dalam memastikan penularan wabak yang membawa maut ini dapat dikawal sebaiknya.

“Kita berharap sumbangan dan penghargaan ini akan dapat menaikkan lagi semangat mereka untuk terus berjuang berdepan risiko Covid-19,”katanya ketika ditemui, hari ini.

Kenny berkata, beliau turut menyeru agar masyarakat terus bekerjasama dengan pihak polis untuk sama-sama membendung wabak ini daripada terus merebak dengan mematuhi PKPB.

Tamat