KUDAT TAHAN DUA KAPAL TUNDA

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat berjaya menahan dua kapal tunda yang melakukan kesalahan di kawasan Barat Laut, Tanjung Simpang Mengayau, di sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, kedua-dua kapal tunda berkenaan masing-masing ditahan pada jam 9 pagi dan 10.30 pagi di lokasi sama.

Katanya, bot pertama yang dikendalikan juragan berusia 40 tahun itu didapati menjalankan aktiviti menunda ikan di kawasan pantai barat dan tidak mengikut syarat seperti tercatat di Lesen Perikanan.

“Syarat yang tercatat di Lesen Perikanan kapal tunda berkenaan adalah operasi di Pantai Timur dan pasukan PPM kemudiannya membuat rampasan serta mengenakan kompaun bernilai RM2500.

“Bagi kapal tunda kedua yang dikendalikan juragan berusia 36 tahun pula didapati turut melakukan kesalahan sama iaitu melanggar syarat menunda ikan di kawasan pantai barat,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohammad Pajeri berkata, nilai rampasan dan kompaun yang dikeluarkan terhadap kapal tunda kedua adalah sebanyak RM800.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua kapal tunda berkenaan disiasat Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

“Kes bagi kedua-dua kapal tunda ini diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Kudat untuk tindakan selanjutnya,”katanya.

Tamat