Perkhidmatan Kaunter Jabatan Imigresen Dibuka Semula.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Perkhidmatan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah kini dibuka semula untuk orang ramai.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, semua kaunter perkhidmatan yang dibuka semula hanya membabitkan tujuh bahagian.

Katanya, setakat ini, kaunter perkhidmatan membabitkan bahagian keselamatan dan pasport hanya untuk urusan rasmi bagi mereka yang belajar atau bekerja di luar negara.

“Bahagian Visa Pas dan Permit pula dibuka untuk urusan permohonan lanjutan pas lawatan sosial jangka panjang, pas kerja Malaysia, pas pelajar, dan pas ekspatriat.

“Kaunter Bahagian Penguat Kuasa dibuka bagi urusan pas khas untuk balik ke negara asal serta bayaran kompaun untuk Program Regularisasi ,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dr. Muhamad Sade berkata, JIM turut membuka kaunter Bahagian Pekerja Asing untuk lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh serta permohonan di bawah Program Regularisasi yang mendapat kelulusan kuota dan mempunyai pasport.

Katanya, selain itu, Bahagian Pengurusan dan Kewangan pula dibuka untuk urusan pentadbiran dan kewangan serta kaunter Unit Khas untuk lanjutan pas lawatan sosial.

“Semua perkhidmatan kaunter pasport di Pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh Sabah turut dibuka.

“Bagaimanapun, urusan di kaunter berkenaan tertakluk kepada keputusan pihak Kementerian Kewangan,” katanya.

Sehubungan itu Dr. Muhamad Sade berkata, sebarang permohonan urus niaga yang dinyatakan perlu dibuat melalui temujanji di pautan http://sto.imi.gov.my/e-temujanji.

“Orang awam yang hadir berurusan di pejabat JIM Sabah perlu mematuhi pelaksanaan protokal keselamatan dan kesihatan melalui norma baharu bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

“Sebarang pertanyaan lanjut, orang awam boleh menghubungi talian sedia ada untuk pejabat imigresen seluruh negeri,” katanya.

Tamat