BUNG MOKTAR SETUJU CADANGAN PELABURAN TUNAI RM150 JUTA FELCRA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Datuk Seri Bung Moktar Radin bersifat terbuka dengan cadangan pelaburan tunai organisasi itu berjumlah RM150 juta dalam unit dana amanah.

Ahli lembaga pengarahnya, Dr. Habibah Suleiman, 72, berkata sepertimana ahli lembaga pengarah yang lain, Bung Moktar tidak membantah kertas cadangan pelaburan baharu itu yang bertujuan untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

“Benar, Datuk Seri turut bersetuju dengan cadangan tersebut yang dibentangkan oleh Pengurus Besar Kumpulan Kewangan FELCRA, Mohd Azmy Abu Samah dalam satu Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 24 Nov 2014.

“Sepanjang mesyuarat itu, ahli lembaga pengarah juga memainkan peranan aktif dalam perbincangan tersebut. Pelbagai isu turut dibincangkan ketika itu yang menyebabkan mesyuarat itu mengambil masa yang lama, dari jam 8.30 malam hingga 3 pagi,” katanya.

Saksi pendakwaaan kelima itu berkata demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Bung Moktar, M. Athimulan, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya yang juga seorang pelakon, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad.

Selain Habibah dan Bung Moktar, mesyuarat pada 24 Nov 2014 di Hotel Intercontinental, Jalan Ampang, di sini, turut dihadiri wakil Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Isa Hussain dan ahli lembaga pengarah FELCRA lain ketika itu, Datuk Seri Ibrahim Muhammad, Datuk Baharum Mohamed, Datuk Abdul Fattah Abdullah, Datuk Ismail Kasim, Azaman @ Azman Ruslan dan Datuk Azailiza Mohd Ahad.

Saksi itu turut mengesahkan sepucuk surat yang ditandatangani bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang meluluskan cadangan pelaburan yang bernilai RM150 juta.

“Seingat saya, saya telah diberitahu bahawa RM150 juta telah diserahkan kepada unit amanah Public Bank pada mesyuarat kami pada 16 Jun 2015,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok. 

   — BERNAMA