Dua Koperal Polis Ditahan SPRM.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Dua anggota polis berpangkat Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia 37 dan 44 tahun itu ditahan SPRM selepas dipercayai menerima rasuah sebanyak RM3,000 dari seorang lelaki dengan niat supaya tiada tindakan diambil terhadapnya.

Menurut sumber, kedua-dua polis berpangkat koperal itu dikatakan menahan seorang lelaki, Selasa lalu, selepas menemui peralatan menghisap syabu di rumah lelaki terbabit.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek kemudiannya melepaskan lelaki terbabit selepas dipercayai meminta wang suapan pada sebelah malam hari yang sama.

“Wang itu diterima hari ini dan kedua-dua anggota polis terbabit kemudiannya berjaya ditahan SPRM jam 2.30 petang tadi,”katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S.Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan terhadap kedua-dua individu itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

“Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Keningau esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tamat