Kelibat Lelaki Diusung Petugas Kesihatan Timbulkan Keresahan Awam.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Gambar dan Video: Ihsan Pembaca

Kota Kinabalu: Kelibat seorang lelaki diusung petugas perubatan yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) di bangunan pusat beli belah Centre Point, di sini, petang tadi, menimbulkan kegelisahan orang ramai.

Insiden kira-kira jam 6 petang itu menimbulkan pelbagai persepsi awam termasuk ada yang mendakwa kononnya mangsa adalah pesakit Covid-19.

Tidak cukup dengan itu, rakaman video lelaki berkenaan diusung keluar dari bangunan Centre Point turut menjadi tular di media sosial.

Bagaimanapun, kejadian sebenarnya hanyalah membabitkan seorang lelaki berusia 40-an yang terjatuh sebelum pengsan di tingkat bawah berhampiran tandas awam bangunan berkenaan.

Tinjauan hantaran dimedia sosial turut mendapat pelbagai komen yang positif dan negatif.

Namun ada juga pihak yang menjelaskan keadaan petugas kesihatan mengenakan pakaian PPE sebenarnya adalah prosedur biasa ketika ini.

Menurut sumber, lelaki terbabit dipercayai mengalami gangguan kesihatan sehingga menyebabkannya pengsan ketika berjalan-jalan di pusat beli belah berkenaan.

“Sebaik menyedari mangsa terjatuh dan pengsan, orang ramai terus menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan segera.

“Ketika itu orang ramai tidak menyentuh lelaki terbabit bagi mencegah sebarang jangkitan wabak,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Centre Point ketika dihubungi mengesahkan mangsa hanya pengsan dan sudah dirujuk ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

tamat