Perkhidmatan Awam Kerajaan Sabah Akan Beroperasi Seperti Biasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memutuskan semua perkhidmatan awam di negeri ini akan beroperasi seperti biasa berkuatkuasa bermula 13 Mei hingga 9 Jun depan.

Bagaimanapun, operasi berkenaan tertakluk kepada Standard Operating Procedure (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata, keputusan ini dibuat untuk memastikan perkhidmatan kerajaan negeri berada di tahap yang cekap dan berkesan.

Katanya, selaras dengan keputusan itu, semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan hendaklah beroperasi seperti biasa dalam keadaan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Antaranya ialah, pematuhan sepenuhnya kepada SOP Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan arahan dari semasa ke semasa.

“Kehadiran kakitangan di setiap organisasi masing-masing hendaklah sekurang-kurangnya 60 peratus di pejabat masing-masing manakala 40 peratus lagi bekerja dari rumah,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Safar berkata, setiap perkhidmatan awam juga perlu membuat penjadualan kerja yang mengambilkira kebajikan, keselamatan dan penggiliran kakitangan.

Katanya, penggunaan aplikasi atas talian adalah digalakkan dan diperluaskan untuk meminimakan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat Kerajaan.

“Ketua Agensi diberi kuasa untuk menentukan penggiliran kakitangan yang perlu hadir ke Pejabat dan yang bekerja dari rumah.

“Walaubagaimanapun, ketua jabatan boleh mengeluarkan arahan bekerja kepada mana- mana kakitangan dibawah jagaan masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Safar berkata, semua ketua agensi diingatkan untuk memastikan SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya oleh kakitangan masing-masing bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 di tempat kerja.

Tamat