PPM Kesan Aktiviti Bom Ikan Di Perairan Pulau Sakar, Lahad Datu

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Seorang lelaki yang dikesan menjalankan aktiviti bom ikan nekad terjun ke laut sebelum berenang ke kawasan paya bakau untuk melarikan diri berhampiran di perairan Pulau Sakar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, suspek cuba ditahan pihak berkuasa selepas bot yang dikemudi lelaki terbabit dipintas Pasukan Polis Marin (PPM).

Bagaimanapun, pasukan PPM gagal menahan suspek ekoran bot yang digunakan pihak berkuasa gagal memasuki kawasan paya yang cetek.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kegiatan itu berjaya dikesan dalam operasi rondaan Op Covid-19 di kawasan perairan berkenaan.

Katanya, ketika rondaan dijalankan, pasukan PPM terserempak dengan suspek yang dipercayai sedang mengebom ikan.

“Pasukan PPM terus mengejar bot pam terbabit sebelum suspek akhirnya terjun ke laut dan berenang ke arah kawasan paya bakau yang cetek.

“Pemeriksaan pada bot yang ditinggalkan suspek pula menemui kira-kira 50 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya meneruskan usaha mengesan suspek selama kira-kira 20 minit namun gagal menemuinya.

Katanya, semua bot, enjin dan ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM2,500 dirampas untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum dua tahun,” katanya.

Tamat