Ejen Jualan Minuman Keras Ditemui Mati Di Sebuah Bilik Hotel.

Anggota polis yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seorang ejen jualan minuman keras ditemui mati di sebuah bilik hotel di pusat bandaraya ini, selepas sesi minum arak bersama rakan, awal pagi tadi.

Difahamkan, mangsa berusia 35 tahun bersama lima lagi rakannya menyewa bilik hotel berkenaan untuk perbincangan perniagaan selain sesi minum arak bersama-sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mengikut rekod, mangsa bersama rakan-rakannya menyewa bilik hotel berkenaan sejak malam Rabu lalu.

Katanya, mangsa juga dikatakan sempat keluar bekerja seperti biasa pada pagi Khamis sebelum kembali ke bilik hotel berkenaan untuk bersama rakan-rakannya semula.

“Menurut salah seorang rakan mangsa, mereka memulakan sesi minum arak bersama-sama pada jam 6 petang, semalam, dan berlarutan sehingga jam 3 pagi, hari ini.

“Malah rakan-rakan yang sepatutnya dihantar pulang oleh mangsa pula terpaksa meminta bantuan rakan lain untuk pulang ke rumah mereka kerana mangsa dikatakan sudah tertidur dalam keadaan mabuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa kemudiannya ditemui tidak sedarkan diri pada jam 5 pagi oleh penjaga unit yang diarahkan mengejutkan mangsa sebelum itu.

Katanya, pengurusan hotel kemudiannya menghubungi polis dan pasukan perubatan untuk bantuan segera sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.

“Mayat mangsa dirujuk ke bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa,”katanya.

Habibi berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Tamat