Hina TYT, Lelaki Dijatuhi Hukuman Penjara Lapan Bulan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menghina dan memburuk-burukkan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, melalui aplikasi WhatsApp.

Majistret Afiq Agoes yang menjatuhkan hukuman itu mengarahkan tertuduh, Jolay Bonar, 51, menjalani hukuman bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat kenyataan itu menerusi aplikasi WhatsApp untuk memuatnaik satu hantaran menghina dan memburuk-burukkan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 22 November 2019 di satu ‘WhatsApp Group’ iaitu UMPASTAR PRU 15.

Jolay didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim manakala Jolay tidak diwakili peguam.

Tamat