Pemimpin Islam dan Petugas Barisan Hadapan Hargai Keprihatinan Madius


TUARAN: Pemimpin Islam dan petugas barisan hadapan di daerah ini menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam menyalurkan sumbangan untuk golongan yang memerlukan.

Pengerusi Masjid Ubudiyah Tamparuli, Salgaring Wahit berkata beliau sangat berbesar hati dan berterima kasih atas sumbangan diberikan kepada pihak masjid.

“Sumbangan ini akan diberikan kepada golongan asnaf yang sememangnya terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sumbangan ini sudah pasti serba sedikit mampu meringankan beban yang ditanggung mereka dan kami sangat menghargainya,” ujar beliau.

Pengerusi Surau Kampung Telibong, Laura Ilun turut senada dengan Salgaring dengan menyifatkan sumbangan itu membantu meringankan beban khususnya golongan yang tekesan akibat PKP.

“Kami sangat berterima atas sumbangan dan mengharapkan agar ia akan dapat diteruskan pada masa hadapan tanpa mengira fahaman politik dan agama seperti sebegini. Terima kasih Datuk Seri Madius,” katanya.

Sementara itu Pengerusi merangkap Imam Masjid Nurul Ikhwaniah Kg Berungis Tuaran, Haji Latif Atui berkata beliau tidak menyangka masjid di bawah seliannya menjadi salah satu pusat agihan sumbangan kepada masjid dan surau di sekitar Tuaran.

“Kita berterima kasih atas penghormatan ini, dan yang lebih penting saya berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Tuaran merangkap Timbalan Ketua Menteri,” katanya.

Sementara itu petugas barisan hadapan yang menerima agihan bubur lambuk dan kurma turut menyatakan terima kasih kepada Madius atas penghargaan yang diberikan.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair berkata, ia merupakan satu sokongan moral untuk mereka selaku barisan hadapan.

“Penghargaan seumpama ini secara tidak langsung memberi suntikan semangat agar kita terus komited menjalankan tanggungjawab berkhidmat untuk rakyat jelata di Tuaran,” katanya.

Wakil Ketua Polis Daerah Tuaran, ASP Raji Hussin turut menyatakan penghargaan yang sama terhadap Madius yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

“Sekurang-kurangnya kami bersama barisan hadapan lain terasa sangat dihargai kerana walaupun dalam situasi sekarang beliau masih mampu memberikan kami suntikan semangat.

“Penghargaan seumpama ini membolehkan kami terus bekerja dan menggalas amanah untuk Tuaran,” katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah menyampaikan sumbangan 1,290 pek beras dan 1,150 kotak kurma kepada 40 masjid dan surau di Tuaran kelmarin.

Beliau turut mengagihkan bubur lambuk beserta kurma untuk juadah berbuka puasa sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

*Tamat*