Pendirian Teguh Wakil Rakyat Kerajaan Sabah Terhadap Kepimpinan Ketua Menteri.

Yang Berhormat Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Barisan wakil rakyat Kerajaan Negeri Sabah, hari ini, menyatakan pendirian sokongan teguh kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pendirian itu dinyatakan semua wakil rakyat kerajaan daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Liberal Demokratik (DAP) dalam satu sidang media, di sini, pagi tadi.

Kenyataan sokongan itu juga sekaligus menolak khabar angin di media sosial yang mendakwa kononnya akan berlaku peralihan kerajaan di negeri ini seperti mana berlaku di beberapa negeri lain dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, tindakan pihak tertentu menyebarkan khabar angin kononnya kerajaan Sabah akan berubah adalah tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan itu jelas cuba memporak-perandakan kestabilan kerajaan sedia ada.

“Ada pihak tertentu yang cuba memporak-perandakan kestabilan Kerajaan Sabah dengan menyebarkan khabar-khabar angin, membuat andaian dan sebagainya.

“Oleh demikian, hari ini, kita bersama-sama dalam sidang akhbar ini untuk menjernihkan keadaan kerana mungkin ada pihak yang keliru dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya pada sidang media yang dijalankan di Magellan Sutera, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah dua naib presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Junz Wong, pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, dan beberapa wakil rakyat daripada Kerajaan Sabah.

Madius berkata, khabar angin itu seharusnya dihentikan kerana kerajaan ketika ini berdepan tugas getir dengan cabaran Covid-19 selain masalah ekonomi yang terjejas akibat daripada penularan wabak berkenaan.

“Hentikanlah (menyebarkan khabar angin), kita tiada masa untuk itu, sudahlah sekarang ini kita menghadapi cabaran Covid-19, kita bukan saja mahu menyelamatkan nyawa tetapi juga ekonomi kita.

“Majoriti yang dimiliki Kerajaan Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang adalah kukuh dan tidak perlu dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang telah berlaku peralihan kuasa termasuklah Melaka dan Johor serta yang terbaharu dijangka berlaku iaitu Kedah.

“Sabah ini bukan Melaka, Johor atau Kedah kerana mereka ada satu atau dua majoriti saja, kita ada 18 majoriti jadi kita kukuh,” katanya.

Sementara itu, Madius menegaskan kepimpinan Mohd Shafie dalam Kerajaan Sabah ternyata sudah berjaya membawa perubahan terutama dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sokongan kami adalah berasaskan perjuangan yang dimulakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri khususnya untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dalam masa dua tahun lalu, terbukti bahawa kepimpinan Datuk Seri Shafie dengan lantang menyatakan dalam pelbagai forum terutamanya mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa MA63 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad,” katanya.

Madius berkata, kerajaan negeri juga berjaya mencapai persetujuan sekurang-kurangnya 17 perkara dalam perjanjian MA63 namun malang apabila adanya peralihan kerajaan (persekutuan) baharu-baharu ini.

Tamat