PENGEDAR DADAH DITEMBAK MATI.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Seorang pengedar dadah ditembak mati selepas suspek terbabit menyerang anggota polis yang cuba menahannya dalam kejadian di kawasan ladang kelapa sawit Rimmer, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek yang dikenali sebagai Tas@Tans, 30, itu dikenalpasti sebagai orang dikehendaki polis membabitkan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Suspek sebelum itu dipercayai terbabit dalam kes menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki menggunakan senjata berbahaya yang dilaporkan berlaku 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, beliau mengetuai pasukan polis untuk menjalankan rondaan di sekitar Jalan Silabukan, di sini.

Katanya, ketika rondaan itu dijalankan, pasukan polis bertembung dengan seorang lelaki yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Polis kemudiannya cuba menahan lelaki berkenaan untuk pemeriksaan namun suspek bertindak terjun dari motosikalnya dan terus melarikan diri ke kawasan ladang sawit.

“Polis terus mengejar lelaki terbabit sambil memperkenalkan diri sebagai polis. Namun suspek tiba-tiba terus berpaling dan cuba menyerang dengan melibas parang berkali-kali ke arah anggota polis,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nasri berkata, bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum suspek rebah dan mati di tempat kejadian.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat suspek terkena dua tembakan di dada manakala pengecaman wajah juga mendapati suspek adalah tersenarai orang yang dikehendaki.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek menggunakan sebilah parang sepanjang 56 sentimeter untuk menyerang polis.

“Selain itu, suspek turut membawa tiga bungkus plastik berisi enam paket kecil disyaki dadah jenis syabu seberat 13.6 gram,”katanya.

Nasri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tamat