UPKO Sumbangkan 1,290 Pek Beras Kepada Masjid, Agih Juadah Berbuka Untuk Barisan Hadapan

TUARAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberi sumbangan 1,290 pek beras dan 1,150 kotak kurma kepada 40 masjid dan surau di daerah ini, semalam.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sumbangan itu bagi meringankan institusi keagamaan yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam memerangi wabak pandemik Covid-19.

“Pada masa yang sama, aktiviti ini yang diinisiatifkan oleh Biro Agama dan Keharmonian Kaum UPKO Tuaran sebagai mengimarahkan bulan Ramadan yang sebelum ini biasanya diisi dengan majlis berbuka puasa.

“Oleh kerana keadaan tidak mengizinkan, kita tidak berpeluang untuk mengadakan majlis berbuka bersama-sama. Sehubungan itu, sumbangan ini untuk diagihkan ahli jawatankuasa masjid dan surau kepada Umat Islam yang terkesan akibat PKP,” katanya.

Madius yang juga Ahli Parlimen P170 Tuaran berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan bubur lambuk dan kurma untuk juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di perkarangan Pejabat Daerah Tuaran, kelmarin.

Katanya, beliau turut berkesempatan melawat beberapa masjid di sekitar Tuaran sepanjang penyerahan sumbangan itu.

“Walaupun tidak sempat melawat kesemuanya, tetapi saya telah bercerita dan turut mendengar perkembangan pusat ibadah masing-masing daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau yang hadir,” katanya.

Sementara itu, Madius memaklumkan agihan bubur lambuk dan kurma adalah sebagai menghargai petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengawal penularan Covid-19 di Tuaran.

“Kita sangat berterima kasih atas pengorbanan dan usaha mereka yang siang malam berjaga untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kita sentiasa terjamin,” katanya.

Sebanyak 17 agensi barisan hadapan telah menerima agihan juadah berbuka puasa termasuk Hospital Tuaran, Balai Polis Daerah Tuaran, Pusat Kawalan Operasi Bencana Tuaran, Angkatan Pertahanan Awam, dan Balai Bomba Tuaran.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair; Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Herman Tungginging; Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut; dan Ketua Biro Agama dan Keharmonian UPKO Tuaran, Ustaz Suffian Kundu.

Tamat