TDM Terus Pantau Sempadan Negeri Sabah.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus meningkatkan operasi pemantauan sempadan negeri ini bagi memastikan ia tidak mudah dibolosi anasir luar.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, usaha itu termasuk memperketatkan kawalan sempadan perairan dan daratan seluruh negeri.

Katanya, penubuhan National Task Force itu mampu mengenalpasti perairan dan kawasan daratan yang perlu diambil perhatian supaya tidak mudah dibolosi.

“Banyak lorong-lorong tikus yang wujud sejak lama dahulu. Bagaimanapun, kita telah mengarahkan Panglima Medan Timur mengkaji serta memperketatkan kawalan di semua kawasan dikenalpasti.

“TDM sudah mengaturgerakkan 80 hingga 150 anggota menerusi operasi yang kita kenali sebagai Ops Kerangka bagi meningkatkan pemantauan,” katanya ketika ditemui media selepas Lawatan ke Kawasan Pengoperasian Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kawasan Bertanggungjawab (KTJ) Divisyen Kelima Infrantri, dekat sini, hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya bagaimanapun khuatir ada pihak tidak bertanggungjawab atau pendatang asing tanpa asing (PATI) membolosi sempadan dan paling membimbangkan sekiranya mereka menjadi pembawa kepada penularan wabak Covid-19 di negeri ini,.

Turut hadir Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Lima Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah berkata pihaknya turut memerlukan bantuan orang awam untuk menjadi mata serta telinga dalam menyalurkan maklumat.

“Selaku jentera kerajaan, kita mengakui kawasan yang berada di bawah pemantauan adalah terlalu luas.

“Oleh itu, kita perlukan kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama sewaktu musim pandemik ketika ini,” katanya.

Tamat