KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) akan memberi diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40 peratus kepada semua pengusaha pelancongan dan pelancong berlesen yang dikenakan kompaun sebelum 31 Dis tahun ini.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu turut memberi perlanjutan tempoh pembayaran kompaun sehingga 31 Dis ini bagi semua kompaun yang dikeluarkan kepada syarikat atau pemandu pelancong berlesen.
Pengecualian kompaun juga akan diberikan kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ia dengan syarat permohonan lengkap perlu dikemukakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh PKP,” menurut kenyataan itu.
MoTAC memaklumkan kelonggaran hal-hal berkaitan kompaun kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong adalah di bawah bidang kuasa Seksyen 39, Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Inisiatif itu bagi membantu meringankan beban penggiat industri pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.
“Namun demikian, pihak kementerian menegaskan bahawa kegagalan untuk menjelaskan kompaun yang dikeluarkan boleh menyebabkan tindakan pendakwaan diambil kepada syarikat atau pemandu pelancong yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA