Penuntut Universiti Rugi RM11,450 Diperdaya Macau Scam

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Seorang penuntut sebuah universiti tempatan di sini, rugi RM11,450 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, hasil siasatan, mangsa berusia 21 tahun itu menerima panggilan telefon daripada dua lelaki yang tidak dikenali pasa 8 Mei lalu.

Katanya, kedua-dua lelaki itu mengaku sebagai pegawai Mahkamah Labuan dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

“Suspek memberitahu mangsa, ada individu lain menggunakan identiti mangsa untuk membuka akaun.

“Suspek turut mengatakan akaun berkenaan terbabit dengan jenayah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad berkata, bagi membersihkan nama mangsa daripada jenayah itu, suspek meminta mangsa untuk mendedahkan butiran akaun beserta dengan nombor pin bagi tujuan siasatan.

“Selepas maklumat akaun diberikan, mangsa mendapati wang berjumlah RM11,450 dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

“Mangsa yang menyedari ditipu kemudiannya datang ke Balai Polis Labuan bagi membuat laporan untuk polis menjalankan siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, Muhamad menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila mendapat panggilan yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis dan pegawai dari mahkamah.

“Polis dan pihak mahkamah tidak akan membuat panggilan bagi tujuan untuk membersihkan nama daripada sebarang kesalahan jenayah.

“Sebaliknya polis akan melaksanakan Prosuder Operasi Standard (SOP) yang biasa seperti menjejaki suspek ke rumah dan melaksanakan tangkapan bagi mana-mana kesalahan jenayah yang dilakukan dan bukannya meminta suspek memindahkan wang ke akaun tertentu bagi menutup kesalahan jenayah,” katanya.

tamat