Suami Isteri Dan Ipar Edar Ganja Ditahan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Sepasang suami isteri dan ipar berusia 20-an, ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah flat di Jalan Bebuloh, di sini, semalam, selepas dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, sepasukan polis yang diketuai seorang pegawai dan enam anggota berjaya merampas 1,262 gram daun kering mampat ganja yang disembunyikan di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika serbuan, pemeriksaan di bilik tidur pasangan suami isteri terbabit berjaya menemui satu ketulan mampat daun-daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki dadah jenis Cannabis.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya dilakukan di bilik tidur kedua yang dihuni ipar kepada suspek utama dan menahan wanita terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek lelaki didapati positif dadah jenis ganja manakala kedua-dua suspek wanita pula bebas dari sebarang pengaruh dadah.

“Jumlah dadah yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM7,000 berdasarkan harga pasaran semasa,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, semua suspek akan dirujuk ke Mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.

Tamat