Dua Pengedar Dadah Ditahan.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Ranau: Dua lelaki ditahan polis selepas didapati menjalankan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu di Kampung Kiringo, Kundasang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, kedua-dua suspek berusia 28 dan 35 tahun terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di tepi jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek kemudiannya ditahan dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal IPD Ranau untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek di tempat kejadian berjaya menemui dadah.

“Pemeriksaan terhadap pemandu menemui tiga paket plastik lutsinar berisi  kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 6.03 gram di dalam beg yang diletakkan di atas ribanya.

“Manakala pemeriksaan terhadap penumpang kenderaan itu tidak menemui barang salah di sisi undang-undang pada tubuh badannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sammy berkata, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing terhadal kedua-dua suspek juga didapati negatif.

Katanya, disiasat lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Sammy berkata, masyarakat Ranau diminta supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah yang berlaku di daerah ini.

Katanya, kerjasama orang ramai untuk memerangi jenayah ini sentiasa diperlukan dalam usaha membanteras gejala dadah daripada berleluasa di daerah Ranau.

Tamat