Ketua Pemuda Bahagian Parti Politik Ditahan

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seorang ketua pemuda bahagian sebuah parti tempatan, di sini, ditahan dalam keadaan khayal selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penagihan dadah berhampiran, Kem Paradise, Kota Belud, malam tadi.

Suspek berusia 30-an itu dikatakan ditahan kira-kira jam 8 malam oleh polis yang bertindak atas maklumat yang diterima daripada pihak tentera di kem berkenaan.

Suspek yang memandu kenderaan ke kem tentera berkenaan pada mulanya dikatakan ditahan untuk tujuan pemeriksaan oleh anggota tentera yang bertugas.

Bagaimanapun, ketika diperiksa, suspek disyaki khayal sebelum pihak tentera melaporkan perkara itu kepada polis.

Susulan laporan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bergegas ke lokasi dan bertindak memeriksa dan menahan suspek terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Sejak pagi tadi, beberapa keping gambar suspek tular di media sosial yang mendakwa suspek kes positif syabu.

Bagaimanapun, suspek yang didakwa khayal melakukan kawad adalah tidak benar.

tamat