PPM Gagalkan Cubaan Seludup Minyak Petrol.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah kapal yang dipercayai cuba menyeludup minyak petrol di perairan Gubbin Rock, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, lima lelaki berusia 33 tahun hingga 61 tahun yang berada di kapal berkenaan turut diberkas untuk membantu siasatan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kapal berkenaan berjaya dikesan oleh sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan rondaan Op Benteng Covid-19.

Katanya, kapal tangki berkenaan kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan lanjut selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, anggota PPM menemui kira-kira 90,000 liter petrol yang disimpan di dalam kapal tangki berkenaan.

“Bagaimanapun, juragan kapal tangki itu gagal mengemukakan permit membawa barang kawalan berkenaan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohammad Pajeri berkata, siasatan lanjut mendapati semua minyak berkenaan disyaki cuba diseleweng untuk diseludup ke negara jiran.

Katanya, semua anak kapal itu kemudiannya ditahan bersama kapal dan bekalan minyak petrol berkenaan turut dirampas.

“Nilai keseluruhan kapal dan bekalan minyak petrol yang dirampas dianggarkan berjumlah kira-kira RM2 juta.

“Siasatan diteruskan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahu  atau keduanya sekali,” katanya.

Tamat.