14 Ditahan Membabitkan Kes Pengedaran Dadah

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan seramai 13 individu termasuk empat wanita dan merampas dadah jenis ganja serta syabu bernilai RM107,200 dalam dua kes berasingan di sekitar daerah ini.

Kejayaan operasi itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, kejayaan kes pertama direkodkan pada 15 Mei lalu dengan penahanan 13 individu termasuk empat wanita berusia antara 18 dan 27 tahun dalam empat serbuan berasingan.

Katanya, dalam serbuan yang dijalankan, polis berjaya merampas 1400.99 gram ganja dan 600.51 syabu yang dianggarkan bernilai RM92,500 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua serbuan itu yang dijalankan berikutan tertangkapnya tiga lelaki di pejabat pos laju Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur, Sepanggar pukul 9.15 pagi Jumaat lalu.

“Dalam tangkapan itu, polis menemui berjaya sebanyak 578.07 gram ganja dalam bungkusan plastik yang dipercayai baru sampai daripada Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, hari ini.

Zaini berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta yang dinaiki suspek pula mendapati terdapat dua lelaki sedang duduk di dalam kenderaan berkenaan yang kemudiannya cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan kemudiannya menemui 548.22 gram ganja yang juga dipercayai baru tiba dari Semenanjung Malaysia melalui kiriman pos laju.

“Siasatan lanjut terhadap suspek berkenaan membawa kepada tiga lagi serbuan pada hari yang sama di tiga rumah berasingan di sekitar Kota Kinabalu,”katanya.

Zaini berkata, dalam serbuan susulan itu, polis berjaya menahan 10 lagi individu bersama baki rampasan dadah yang ditemui di semua rumah serbuan,” katanya.

Sementara itu, Zaini berkata, kes kedua membabitkan penahanan seorang lelaki warga asing bersama 98 gram syabu bernilai RM14,700 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sulaman, Menggatal, semalam.

Katanya, semua suspek berkenaan masih ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Mei depan.

“Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Tamat