Lima Blok Rumah Kongsi Pusat Pembinaan Balai Polis Inanam, Musnah Terbakar


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Lima blok rumah kongsi musnah dalam kebakaran di pusat pembinaan tapak Balai Polis Inanam dan kuarters di pekan Inanam, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, kebakaran membabitkan 80 pintu rumah kongsi berkenaan menyebabkan lebih 250 pekerja daripada 75 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan, namun hanya membabitkan kehilangan harta benda termasuk persiapan kelengkapan baju dan kuih raya.

Penyelia tapak pembinaan yang ditemui, Rozikahan Amir, 33, berkata, kejadian kebakaran itu disedari isterinya yang masih berjaya ketika kejadian sebelum bertindak mengejutkannya.

Katanya, dia cuba memadam api itu namun gagal kerana api marak terlalu pantas sehingga memaksanya melarikan diri bersama keluarga ke tempat selamat.

“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana apa yang penting nyawa isteri dan empat anak saya berusia 8 hingga 12 tahun, perlu diselamatkan.

“Semua barangan dalam rumah musnah termasuk dokumen dan kelengkapan baju raya serta kuih raya kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, awal pagi tadi.

Rozikahan berkata, hasrat mereka untuk beraya bersama semua pekerja di sini tidak kesampaian namun bersyukur kerana tiada seorangpun terkorban dalam kejadian malang itu.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Pegawai Bomba Kanan II, Rozam Shah Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.58 tengah malam dan tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

Katanya, operasi bermula sejurus sepasukan 14 anggota termasuk dua pegawai dibantu BBP Kota Kinabalu, tiba di lokasi bersama empat jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi didapati api sedang marak dan lima blok rumah kongsi pekerja musnah terbakar. Namun kecekapan anggota bomba berjaya menyelamatkan 25 lagi blok daripada musnah terbakar.

“Pasukan bomba turut berjaya mengawal api daripada terus merebak ke rumah penduduk kampung yang terletak kira-kira lima meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rozam Shah berkata, api dikawal pada 1.33 pagi dan bomba hanya memerlukan masa 23 minit untuk mengawal keadaan.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu. Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Difahamkan, buat masa kini semua mangsa kebakaran berlindung di kuarters tapak baru Balai Polis Inanam, yang masih dalam pembinaan.

tamat