Serahkan Sepenuhnya Kes Membabitkan Ketua Wira Kota Belud Kepada Polis.

 

Timbalan Ketua Wira Kota Belud, Mohd Khidir Lamsil

 

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Kepimpinan Wira Warisan Bahagian Kota Belud menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya terhadap isu penahanan Ketua Wira di bahagian itu, kelmarin.

Timbalan Ketua Wira Kota Belud, Mohd Khidir Lamsil berkata, walaupun perkara itu amat mengejutkan jawatankuasa pimpinan Wira Bahagian, namun mereka ingin menegaskan kepimpinan Wira Warisan Bahagian Kota Belud tidak terjejas dengan isu berkenaan.

Katanya, perkara itu sebaliknya adalah atas perbuatan peribadi dan berharap segala spekulasi yang dibuat tidak dikaitkan dengan parti.

“Kami berikrar akan terus berkhidmat kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara amnya terutamanya di masa kita sedang berlawan dengan virus Covid19.

“Apa pun, sebagai ahli parti, kami mohon agar segala spekulasi perbuatan itu tidak dikaitkan dengan parti. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak polis sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sebuah laman berita atas talian, hari ini.

Mohd Khidir berkata, pada masa sama, sebagai sahabat seperjuangan, mereka akan sentiasa memberikan sokongan moral kepada ketua wira bahagian berkenaan.

Katanya, ini termasuk memberikan nasihat agar ketua pergerakan bahagian itu terus bersemangat dan menginsafi perbuatan berkenaan.

“Setiap manusia itu tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Siapa pun kita, kita tidak kebal dengan undang-undang jika didapati bersalah.

“Sehingga mendapat hasil keputusan siasatan sepenuhnya, marilah kita doakan yang terbaik untuk semua,” katanya.

Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Katanya, selain daripada positif dadah, dalam penahanan Sabtu lalu itu, polis turut menemui 0.11 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM50 di dalam kenderaan suspek.

Terdahulu, Asia Times, semalam, melaporkan, seorang ketua pemuda bahagian sebuah parti tempatan, di sini, ditahan dalam keadaan khayal selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penagihan dadah berhampiran, Kem Paradise, Kota Belud.

Suspek berusia 30-an itu dikatakan ditahan kira-kira jam 8 malam oleh polis yang bertindak atas maklumat yang diterima daripada pihak tentera di kem berkenaan.

Sejak penahanan itu, beberapa keping gambar individu yang didakwa terbabit itu tular di media sosial.

Tamat