APMM PATAHKAN CUBAAN SELUDUP MASUK ROKOK KRETEK

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Zon Maritim Tawau) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok kretek di perairan Tinagat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, rokok yang cuba diseludup menggunakan bot pam berkenaan berjaya dikesan pasukan bot ronda APMM yang sedang menjalankan pemeriksaan di sekitar perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten V Siva Kumar berkata, dalam operasi rondaan itu, pihaknya mengesan sebuah bot pam mencurigakan tanpa nombor pendaftaran di sekitar perairan berkenaan.

Katanya, sebaik pihaknya cuba menghampiri bot berkenaan, juragan bot pam berkenaan dilihat bertindak terjun ke laut.

“Juragan terbabit dilihat meninggalkan bot pam berkenaan dengan terjun ke laut sebelum meloloskan diri ke kawasan pantai berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot pam itu mendapati terdapat muatan bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 372 karton rokok putih dan kretek dianggarkan bernilai RM16,500,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

V Siva berkata, bot pam yang menggunakan enjin sangkut 15 kuasa kuda serta muatan rokok kretek kemudiannya dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, nilai rampasan semua rokok termasuk bot pam yang dirampas dianggarkan berjumlah RM22,000 berdasarkan harga pasaran semasa dan siasatan kes dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kemasukan PATI dan perlanggaran undang-undang di perairan Tawau.

 “Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999 untuk tindakan segera,”katanya.

Tamat