Jururawat Masyarakat Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya.

Kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa Siti Zaharah Jeris, 34.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Beaufort: Seorang jururawat masyarakat maut dalam kejadian kemalangan jalanraya di Kilometer 28, Jalan Beaufort-Menumbok berhampiran Kampung Nukahan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa yang maut, Siti Zaharah Jeris, 34, dikatakan sedang bergerak dari arah Beaufort menuju ke Kuala Penyu.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai cuba memotong dua kenderaan di hadapannya namun gagal sehingga merempuh pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 52 tahun dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, akibat dari pertembungan itu, kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian depan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian dalam badan oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Penyu yang hadir di lokasi kejadian.

“Pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua pemandu tidak disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Siasatan di lokasi kejadian, cuaca amat baik dan cerah manakala keadaan jalan pula lurus serta berturap sempurna dengan garisan tengah pembahagi jalan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 52 tahun.

Azmir berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kes ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tamat