Penarik Kereta Ditahan Bersama Syabu Dan Mercun.

Dadah jenis syabu seberat 6.06 gram berjaya ditemui di dalam poket seluar suspek.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Beaufort: Seorang penarik kereta ditahan pihak berkuasa selepas didapati membawa 6.06 gram syabu dan pelbagai jenis mercun, sabtu lalu.

Dalam pemeriksaan jam 9.15 malam itu, lelaki berusia 32 tahun yang memandu Perodua Axia berhampiran pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini, ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, suspek ditahan sepasukan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar lokasi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya berjaya menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam bonet kereta yang disembunyikan di dalam tong cat.

Pelbagai jenis mercun dan bunga api yang ditemui disembunyikan di dalam kereta suspek.

“Seterusnya pemeriksaan fizikal dijalankan dan polis menemui satu paket plastik mengandungi serbuk jernih disyaki dadah jenis syabu di poket seluar suspek.

“Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa balik ke Balai Polis Beaufort untuk tindakan Cawangan  Jenayah Dan Cawangan Narkotik IPD Beaufort,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Sekyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 4(2)Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Tamat