DUA BOT PEMANCING FILIPINA CEROBOH KAWASAN LARANGAN DITAHAN


FARDY BUNGGA

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah berjaya menahan dua pemancing di kedudukan 2.3 batu nautika tenggara dan 0.7 batu nautika timur, Pelantar Minyak Malikai, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9 malam itu, kedua-dua bot berkenaan didapati melakukan aktiviti memancing ikan di dalam kawasan larangan.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi khas di kawasan pelantar minyak itu berjaya mengesan dua bot pancing berkenaan.

Katanya, ketika diperiksa kedua-dua bot itu dinaiki lima lelaki warganegara Filipina, berusia  lingkungan 20 hingga 39 tahun.

“Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan.

“Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali”, katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, kedua-dua bot bersama lima lelaki warga asing itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, rampasan membabitkan kedua-dua bot berkenaan dianggarkan bernilai RM52,000.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, operasi khas yang dilaksanakan ini adalah bagi mengekang pencerobohan kawasan pelantar minyak di perairan Kota Kinabalu dan Labuan yang juga dikenali sebagai Operasi Api 2/2020.

Katanya, dalam operasi khas itu, pihaknya sudah berjaya menahan empat bot sepanjang tempoh PKP April.

“Operasi khas ini akan diteruskan oleh Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan walaupun ketika musim perayaan.

Operasi Khas ini juga merupakan operasi bersama pihak PETRONAS bagi mengekang aktiviti menangkap ikan di kawasan pelantar minyak yang mana boleh mengundang bahaya kepada para nelayan dan pekerja di pelantar berkenaan,” katanya.

Mohd Rosli berkata, kawasan pelantar minyak kebiasaanmya menjadi tumpuan pemancing kerana hasil laut yang banyak dan pelbagai.

“Oleh kerana itu, segelintir daripada nelayan tidak menghiraukan keselamatan mereka,”tegasnya.

Mohd Rosli berkata, sempena musim perayaan ini Maritim Malaysia khususnya APMM Sabah akan terus meningkatkan rondaan di kawasan Pelantar Minyak dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah yang beroperasi 24 jam dan sedia menerima aduan serta laporan daripada komuniti maritim.

Tamat