Dua Lelaki Miliki Syabu Ditahan

Suspek yang ditahan selepas didapati memiliki syabu dan peralatan menghisap dadah.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Sipitang: Dua lelaki yang dikesan memiliki syabu ketika cuba melepasi sekatan jalan Op Covid-19, di Jalan Tunggul Tinggi, di sini, ditahan pihak berkuasa, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, lelaki pertama yang ditahan memandu sebuah kereta Perodua Kancil cuba melepasi sekatan jalan berkenaan.

Bagaimanapun, gelagat mencurigakan lelaki berusia 27 tahun itu akhirnya membongkar kegiatan penagihan dadahnya.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis syabu seberat 0.20 gram bersama peralatan menghisap dadah di dalam pemilikan suspek.

Katanya, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM50 berdasarkan harga pasaran semasa dan suspek terus ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek kedua pula, seorang lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Lawas, Sarawak. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 0.28 gram yang turut dianggarkan bernilai RM50.

“Kedua-dua tangkapan seterusnya di bawa balik ke balai polis Sipitang untuk siasatan lanjut mengikut kesalahan memiliki syabu dan diarahkan menjalani ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Champin berkata, Polis Sipitang akan terus memperketatkan dan menguatkuasakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengenakan kompaun dan tangkapan kepada yang ingkar atau melanggar Akta 342 ini.

“Saya menasihatkan kepada semua warga Sipitang supaya patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Champin memberitahu, PDRM diarahkan supaya memantau aktiviti Takbir Raya pada Malam Raya dan Hari Raya pertama di Masjid dan Surau.

Selain itu katanya, PDRM turut diarahkan supaya memastikan kehadiran jemaah hanya dalam kalangan AJK Masjid dan Surau serta tidak melebihi 4 orang jemaah lain.

“Arahan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara pula menetapkan, pergerakan “Interstate” tidak lagi dibenarkan dan mana-mana individu yang ingkar akan diambil tindakan kompaun,” katanya.

Tamat