Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan Dilancarkan.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas memberi penerangan kepada Datuk Frankie Poon semasa walkabout pelancaran SHMMP Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Pix Lo Teck Loong

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, hari ini, mengumumkan harga maksimum bagi 14 jenis barang melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, SHMMP bagi Aifdilfitri itu akan dikuatkuasakan bermula 20 Mei hari sehingga 3 Jun ini.

Manakala katanya, SHMMP Pesta Kaamatan pula akan bermula pada 28 Mei hingga 3 Jun ini yang turut membabitkan 11 barangan yang ditentukan harga siling antaranya ayam, telur ayam, daging lembu tempatan dan import serta kelapa.

”Kerajaan prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini. Pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan harga barangan di pasaran stabil dan berpatutan.

“Walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dengan penularan wabak COVID-19, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa dan Pesta Kaamatan 2020 wajar dilaksanakan memandangkan permintaan orang ramai terhadap barang-barang keperluan harian tertentu untuk sambutan perayaan masih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ‘walkabout’ Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa dan Pesta Kaamatan 2020 di Pasaraya Bataras, Kolombong, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Taha Julai.

Frankie berkata, pelaksanaan Skim bagi kedua-dua perayaan ini dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga bagi memulihkan perniagaan mereka selepas melalui PKP yang dikuatkuasakan kerajaan.

Katanya, pelaksanaan harga maksimum ini bertujuan untuk memastikan harga barangan terpilih adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan.

“Walau bagaimanapun, harga barangan di pasar raya kebiasaannya adalah lebih terkawal kerana model perniagaan dan persaingan yang berbeza serta tahap ‘economies of scale’ yang lebih baik,” katanya.

Sehubungan itu, Frankie memberitahu bagi SHMMP Hari Raya Aidilfitri, 10 barangan yang ditentukan harga siling ialah ayam hidup (RM6.60 sekilogram), ayam standard (RM9.50 sekilogram), ayam super (RM9.80), telur ayam gred A (41 sen sebiji), telur ayam gred B (40 sen sebiji) dan telur ayam gred C (39 sen sebiji).

Katanya, bagi daging lembu tempatan pula ditetapkan pada harga RM26.50 sekilogram, daging kerbau diimport India (RM21 sekilogram), kelapa biji harga borong (RM1.50) dan kelapa parut dijual harga runcit (RM5/kg).

“Untuk Pesta Kaamatan, 11 barangan yang disenaraikan ialah ayam hidup (RM6.60 sekilogram), ayam standard (RM9.50), ayam super (RM9.80), kepak ayam (RM13), telur ayam gred A (41 sen sebiji), telur ayam gred B (40 sen sebiji), telur ayam gred C (39 sebiji), daging kerbau import India (RM21), babi hidup (dikawal di peringkat ladang RM11 sekilogram), daging babi bahagian perut (RM22) dan daging babi (RM20),” katanya.

Frankie berkata, penentuan harga maksimum prngeluar, borong dan runcit iti dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan.

Katanya, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga, tindakan denda maksimum akan dikenakan kerana kelakuan itu ternyata melanggar peraturan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Tamat