Kanak-Kanak Lelaki Maut Tercekik Gula-Gula.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas tercekik gula-gula jeli dalam kejadian di rumahnya di Kampung Batu Manikar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, insiden berkenaan dimaklumkan pihak Hospital Labuan yang menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di rumah keluarga kanak-kanak terbabit dan mangsa dikatakan meminta gula-gula jeli berkenaan daripada ibunya.

“Kanak-kanak terbabit dikatakan memakan gula-gula itu sendiri sebelum disedari tercekik oleh ibunya.

“Ibu kanak-kanak terbabit cuba membantu mengeluarkan gula-gula berkenaan daripada kerongkong anaknya (mangsa) namun usaha itu gagal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, wanita itu mengambil kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Labuan untuk tindakan lanjut.

“Sebaik tiba di Wad Kecemasan Hospital Labuan, pemeriksaan segera dilakukan terhadap mangsa namun kanak-kanak terbabit didapati sudah meninggal dunia.

“Pihak hospital akan menjalankan proses bedah siasat selain melakukan ujian Covid-19 terhadap mangsa,” katanya.

Muhammad Farid berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

tamat