Lelaki Mengamuk Ditahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Seorang lelaki yang mengamuk di sebuah rumah di Kampung Sungai Bangat, di sini, ditahan selepas mengugut cuba menikam anggota polis, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit cuba ditenangkan serta diarahkan supaya menyerah diri namun dia enggan dan terus bertindak agresif.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, anggota polis kemudiannya bertindak melakukan serbuan mengejut ke dalam rumah berkenaan sebelum berjaya menangkap suspek.

Katanya, pihaknya turut berjaya merampas sebilah pisau yang dipegang oleh suspek ketika mengamuk dalam kejadian berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik tempat tinggal suspek turut menemui sebilah pedang samurai berhulu besi berukuran panjang 110 sentimeter.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Indonesia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Farid berkata, suspek bersama barang-barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah menggunakan pisau dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 7(1)Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah samurai iaitu senjata berbahaya seperti yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

“Jika disabitkan kesalahan ini boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun, atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 28 dan 62 tahun kerana ingkar terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Muhammad Farid berkata, kedua-dua lelaki terbabit kemudiannya dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan melakukan perjalanan merentas negeri dari Menumbuk, Sabah ke Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kedua-dua pesalah didapati melakukan kesalahan mengikut peraturan 6(3) Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan Jangkitan)(No.6) 2020.

“Kesalahan yang dilakukan adalah pergerakan perjalanan merentas negeri tanpa kebenaran bertulis daripada ketua polis yang paling hampir dengan tempat kediaman masing- masing atas sebab khas,” katanya.

Tamat