Perkeso Terima 4,039 Kes Program Subsidi Upah.

Pengarah Perkeso Sabah, Dr Mohd Ali Hindia

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah, menerima sebanyak 4,039 kes program subsidi upah membabitkan majikan di negeri ini sehingga semalam.

Pengarahnya Dr Mohd Ali Hindia berkata, daripada jumlah kes yang diterima itu, sebanyak 3,193 kes sudah diluluskan ke bahagian kewangan.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 551 kes pula ditolak kerana tidak memenuhi syarat kelayakan manakala baki 295 kes lagi diletakkan di peringkat inkuiri.

“Berdasarkan jumlah keseluruhan yang diterima, Perkeso Sabah meluluskan sebanyak 92.69 peratus daripada pemohon majikan.

“Bagi seluruh Malaysia pula, Perkeso menerima sebanyak 299,166 permohonan daripada majikan mewakili 2.4 juta pekerja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Mohd Ali berkata, sektor yang paling banyak direkodkan membuat permohonan adalah perusahaan mikro dan kecil.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelewatan pembayaraan subsidi upah, Mohd Ali berkata, kebanyakan masalah itu ekoran kesilapan majikan yang memberikan ‘Business Registration Number’ (BRN) atau nombor akaun bank yang salah.

Malah katanya, pihaknya juga mengesan ada akaun bank dalam kalangan majikan yang tidak lagi aktif ataupun ‘dormant’.

“Kesilapan seperti ini akan menyebabkan kelewaran pembayaran subsidi upah apabila ditolak oleh pihak bank.

“Selain itu, Perkeso turut menerima jumlah permohonan yang amat tinggi setiap hari dan pihaknya terpaksa memproses semua permohonan secara berperingkat dengan kadar segera,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Ali menasihatkan majikan supaya sebaiknya hanya memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja masing-masing berbanding menghentikan mereka secara terus.

Katanya, tindakan menghentikan pekerja boleh menjejaskan keseluruhan ahli keluarga pekerja itu sendiri.

“Setiap pekerja ini boleh diletakkan di bawah program subsidi upah dan menerima bantuan berjumlah RM600 setiap bulan sehingga operasi perniagaan majikan mereka berjalan seperti biasa.

“Namun sekiranya pekerja itu diberhentikan terus, mereka boleh diletakkan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP),” katanya.

Tamat